Custom Search

TILAWATI QUR'AN

Sunday, January 29, 2012

Mohon perlindungan azab kubur antara tasyahud, salam

Mohon perlindungan azab kubur antara tasyahud, salam DARIPADA Aisyah, bahawa seorang wanita Yahudi datang menemuinya lalu menyebutkan azab kubur, lalu wanita itu berkata kepada Aisyah: "Semoga Allah melindungimu daripada azab kubur. Aisyah berkata: Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: Ya, azab kubur adalah benar. Aisyah berkata: Maka setelah itu aku tidak melihat Rasulullah SAW mengerjakan sesuatu solat melainkan Baginda memohon perlindungan daripada azab kubur." Hadis ini juga mengandungi anjuran berlindung daripada azab kubur dalam solat dan tempat memohon perlindungan antara tasyahud dan salam. Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu berada dalam keadaan tasyahud, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara dengan berdoa: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada seksaan neraka jahanam, daripada seksa kubur, daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati serta daripada kejahatan fitnah Almasih Ad-Dajjal." Pensyarah kitab At-Tahawiyah, berkata khabar daripada Rasulullah SAW mengenai azab kubur dan nikmatnya, soalan dua malaikat, maka wajib mempercayai serta beriman dengannya. Perkara yang menyelamatkan daripada azab kubur ialah syahid di medan perang. Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mati syahid beroleh enam perkara di sisi Allah: Diampunkan dosa pada darah yang mula-mula keluar, diperlihatkan tempatnya dalam syurga, diselamatkan dari azab kubur, aman pada hari kebangkitan dari kubur, diletakkan mahkota kebesaran atas kepala dibuat dari yaqut yang lebih baik dari dunia dan isinya, dikahwinkan dengan tujuh puluh dua bidadari, dan diizinkan memberi syafaat kepada tujuh puluh orang dari kaum kerabatnya." Berjihad di jalan Allah hingga mati. Daripada Fudhalah bin `Ubaid, dari Rasulullah SAW sabdanya: "Setiap mayat ditutup amalannya melainkan orang yang mati berjuang di jalan Allah, maka sesungguhnya amalannya tetap diterima pahalanya hingga hari kiamat dan aman dari fitnah kubur." Mati pada hari Jumaat dan malamnya. Daripada Abdullah bin `Amru, daripada Nabi SAW sabdanya: "Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat melainkan Allah melindunginya dari fitnah kubur." Mati dengan sebab penyakit perut. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dibunuh oleh perutnya maka dia tidak akan diseksa dalam kuburnya." Amal salih lain seperti dijelaskan dalam hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hatim dan `Sahihnya' dari Abu Hurairah daripada Nabi SAW sabdanya: "Sesungguhnya mayat mendengar bunyi hentakan tapak kasut orang yang menghantarnya ketika mereka meninggalkan kuburnya, jika dia seorang mukmin, solat berada di sisi kepalanya, puasa berada di sebelah kanannya, zakat berada di sebelah kirinya, amalan kebajikan dari sedekah, silaturahim, kebaikan dan ihsan kepada manusia berada di sisi kakinya, lalu malaikat mendatangi dari sisi kepalanya, maka solat berkata tidak ada di sisiku pintu masuk, kemudian kebajikan dari sedekah, silaturahim, kebaikan dan ihsan kepada manusia berkata: tidak ada di sisi pintu masuk..." Telah jelas bagimu jalan keselamatan maka berpegang teguhlah dengannya, berjalanlah atas hidayatnya, semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk mengerjakan amal soleh. Petikan buku 101 Nasihat Rasulullah SAW Untuk Menjadi Muslimah Paling Bahagia

SUNAH RASULULLAH S.A.W

Assalamualaikum & Salam Sejahtera... Untuk Renungan Bersama..... 7 Sunnah Rasullalah SAW yang terbaik…. "Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup. Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan. Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah: Pertama:tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Kedua:membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Ketiga:jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah. Keempat:jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah". Ketujuh:amalkan istighfar setiap saat.. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme. Selamat Beramal.......

HIDUP SENTIASA DILINDUNGI ALLAH

Hidup sentiasa dilindungi Allah ALLAH memerintahkan setiap hamba-Nya taat dan memuliakan ibu bapa. Bergaul dan memenuhi hak kedua-dua ibu bapa menjadi satu keutamaan yang mesti dilaksanakan oleh anak, khususnya apabila mereka telah sampai kepada usia lanjut. Derhaka kepada ibu bapa bermakna seseorang itu telah menderhakai Allah. Begitulah besar dan mulianya darjat ibu bapa. Apabila kita membaca al-Quran dan rajin meneliti maknanya maka akan terjumpa banyak sekali ayat yang memperkatakan perintah mentaati ibu bapa. Antaranya Allah berfirman, “Janganlah kamu menyembah selain Allah dan berbuat baiklah kepada ibu dan bapamu.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 83). Tetapi dalam kehidupan zaman serba moden ini fenomena anak menderhakai ibu bapa semakin menjadi-jadi yang menggambarkan betapa ada manusia yang memandang remeh perintah Allah. Mereka bukan sahaja melukai hati ibu bapa malah ada juga sampai melukai fizikal mereka. Seseorang anak hanya dapat kedudukan sebagai anak yang soleh jika mereka mentaati dan memuliakan ibu bapa. Sebenarnya sifat menyayangi dan mengasihi orang adalah fitrah naluri manusia, malah haiwan pun Allah kurniakan naluri ini. Justeru, orang yang menderhakai ibu bapa dapatlah dianggap melencong daripada naluri fitrah insan. Kita apabila sudah besar dan mendapat pelbagai kesenangan hidup tidak boleh sama sekali melupakan jerih penderitaan dan pengorbanan ibu bapa, sebaliknya pada masa beginilah sewajarnya kita berbakti untuk memberikan kesenangan hidup kepada mereka serta menjaga bak menatang minyak yang penuh. Anak yang soleh akan berusaha menyenangkan hati ibu bapanya kerana mengharapkan reda dan berkat hidup daripada Allah. Mereka tahu bahawa setinggi manapun kedudukan, pangkat atau pemilikan harta kekayaan semua tidak sama nilainya dengan kasih sayang terhadap ibu bapa. Selain itu, doa ibu bapa sangat berkat dan mustajab. Oleh itu, anak yang baik lagi soleh akan mengharapkan keberkatan doa ibu bapa dalam menyusuri kehidupan ini. Sabda Rasulullah s.a.w, “Tiga jenis doa yang mustajab yang tidak diragukan keajaibannya adalah doa orang tua untuk anaknya, doa orang musafir dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Malah, Rasulullah pernah menegaskan, “Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa Nabi untuk umatnya.” (Hadis riwayat ad-Dailimi). Dengan hal demikian, sewajarnya kita merebut peluang semasa ibu bapa kita masih hidup untuk berbakti kepada mereka di samping mengharapkan keberkatan doa. Doa ibu bapa akan menjamin keselamatan dan ketenteraman dalam kehidupan. Allah akan melindungi diri anak yang berbakti itu dengan kehidupan yang aman sejahtera. Cahaya hidayah dan ketakwaan akan cepat menusuk ke jiwa si anak. Petunjuk ibu bapa terhadap anak sama seperti petunjuk Nabi kepada umatnya. Jadi, anak-anak yang sentiasa memuliakan ibu bapanya tentu akan didoakan oleh ibu bapanya sebaliknya anak-anak yang derhaka itu sentiasa disunguti dan sebarang rasa sungutan mereka akan mendatangkan kemudaratan dalam hidup. Di samping itu, doa ibu bapa juga akan menjadi sumber kepada pembinaan kekuatan batin diri anak. Hal itu akan mempengaruhi sikap dan kewibawaan anak dalam menjalani kehidupan. Inilah keberkatan dan kehebatan doa ibu bapa terhadap anak. Oleh itu, kita mesti berusaha membahagiakan kedua-dua orang tua sedaya upaya yang termampu dan berkorbanlah sama ada masa, tenaga atau wang ringgit demi melihat mereka berada dalam keadaan terjaga rapi dan mendapat kasih sayang daripada kita. Cerita daripada Saidina Ali bin Abi Talib ini seharusnya menyedarkan kita. Katanya, “Aku mendengar Nabi bersabda, ‘Aku berlepas diri daripada orang yang tidak memenuhi hak kedua-dua orang tuanya.” Aku bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana sekiranya orang itu tidak memiliki apa-apa yang dapat diberikan kepada orang tuanya?” Sabda Nabi lagi, “Apabila mendengar kata-kata orang tua, jawablah, aku dengar dan aku taat, jangan berkata ‘ah’ dan janganlah membentak mereka dan katakanlah kata-kata yang baik.” Ini satu tunjuk cara yang dipandukan oleh Nabi kepada kita semua bagaimana untuk berinteraksi dan memuliakan ibu bapa. Hebat ganjaran yang Allah sediakan untuk anak yang berbakti dan memuliakan ibu bapanya. Apabila kita memandang wajah mereka dengan penuh kasih sayang sudahpun Allah memberikan pahala dan keberkatan kepada anak-anaknya. Sabda Rasulullah, “Tidak ada seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya dan memandang wajah kedua-dua orang tuanya dengan perasaan kasih kecuali Allah menuliskan pahala ibadah haji mabrur baginya.” Ibnu Abbas bertanya Rasulullah, “Wahai Nabi, bagaimana sekiranya anak itu memandang wajah ibu dan bapanya sebanyak 100 kali? Jawab Nabi, “Lebih besar pahalanya. Sesungguhnya Allah Maha Besar lagi Maha Baik.” (Hadis riwayat al-Baihaqi ). Begitu hebat ganjaran pahala yang disediakan Allah buat anak-anak yang berakhlak mulia kepada ibu bapa. Nabi Muhammad menegaskan Allah tidak menolak doa kedua-dua orang tua untuk anak-anaknya. Justeru, hendaknya kita sebagai ibu bapa sering bermunajat kepada Allah agar anak sentiasa berada di bawah lindungan rahmat-Nya dan meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Demikian juga kepada kamu semua wahai anak Muslim, selalulah mendoakan untuk ibu dan ayahmu. Alangkah indahnya hidup dalam sebuah keluarga yang hubungan akrab melalui mekanisme berdoa dihidupkan. Keluarga sebegini sudah tentu akan sentiasa mendapat cahaya hidayah Allah , penuh nikmat kebahagiaan hidup dan rukun damai. Justeru, bersamalah kita bermuhasabah diri apakah selama ini kita sebagai anak sudah memenuhi hak kedua-dua ibu bapa kita. Sekiranya selama ini kita sentiasa prihatin dan mengambil berat soal ibu bapa bermakna hidup kita dalam lingkungan yang diberkati Allah. Namun, jika sebaliknya, kita wajib bertaubat dan kembali melakukan yang terbaik untuk ibu bapa. Jadikanlah diri kita sebagai anak yang soleh dengan memuliakan dan mentaati ibu bapa dan janganlah sampai kita tergolong sebagai anak yang sering menderhakai mereka. Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
Pesan Roh Kepada Manusia Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut". Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh". Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh". Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat. Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya". Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir. Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: " Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku" . "Adapun di dunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku". Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku". Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari. Baginda Rasullullah S.A.W berkata: Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu." Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S. "Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelahkiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya. Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut rohorang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan." Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir." Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah." Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan AsmaAllah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada AllahS.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang. Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:- 1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin. 2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus. 3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina. 4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka. 5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat. 6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik. 7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat." Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:- 1. Orang-orang yang mati syahid. 2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan. 3. Orang berpuasa di hari Arafah. Sekian untuk ingatan kita bersama. Kalau rajin. Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati. Sila panjangkan kisah ini kepada semua saudara islam kita.

Panduan Zikir/Doa serta Doa-doa pendek

AL-IKHLAS

AL-IKHLAS

AL-FALAQ

AL-FALAQ

AN-NAAS

AN-NAAS

1-9 YAASIN

1-9 YAASIN

AYATUL QURSI

AYATUL QURSI